Mufti Perlis Cakap Berd0sa Bela Pihak Yang Salah, Sekali Peguam Ni Jawab Balik Dr. Maza

MUTAKHIR ini, rata-rata masyarakat sama ada dalam mahupun luar media sosial didedahkan dengan laporan kes mahkamah yang menjadi tumpuan kerana melibatkan kepentingan awam ataupun individu yang dikenali ramai.

Perkara ini mengundang kepada ulasan terhadap kes mahkamah, yang mana kebanyakannya dibuat oleh individu yang bukan berlatarbelakang undang-undang, apatah lagi mempunyai pengetahuan mengenai sistem perundangan dan kehakiman negara.

Lebih merisaukan apabila pihak yang mengulas itu adalah di kalangan yang mempunyai ramai pengikut seperti selebriti, artis, instafamous dan tidak kurang juga berstatus ustaz serta agamawan.

Antara kes yang menjadi buah mulut ketika ini adalah melibatkan penderaan kanak-kanak istimewa (OKU) oleh seorang pengasas rumah kebajikan. Dalam isu ini rata-rata netizen mengecam barisan peguam yang mewakili tertuduh.

Hari ini pula, saya membaca satu ulasan oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang menyatakan, peguam mewakili pihak yang bersalah adalah berdosa serta wang bayaran yang diterima menjadi sumber h4ram.

Lebih parah apabila wang yang dikatakan diterima daripada anak guam sebegini dikatakan lebih hina daripada hasil pe4curan.

Pandangan ini saya anggap sebagai sesuatu pendapat yang jahil, tidak adil serta menjadi fitnah kepada profesion undang-undang.

Sebagai seorang peguam beragama Islam yang menjalankan amalan guaman secara khusus dalam perundangan jenayah, saya merasa terpanggil untuk menjawab dan menjelaskan bukan sahaja kepada Mufti berkenaan, tetapi juga kepada masyarakat supaya faham peranan peguam dalam sesuatu kes jenayah di mahkamah.

Dalam suatu kes jenayah yang dibicarakan di mahkamah di mana-mana peringkat mahkamah sekalipun, akan terdapat tiga pihak yang berperanan penting dalam menentukan agar semua pihak mendapat keadilan sewajarnya.

Tiga pihak itu ialah mahkamah yang diwakili oleh Hakim atau Majistret, Pendakwa Raya yang mewakili kerajaan atau mangsa dan Peguambela yang mewakili tertuduh.

Keadilan yang dicari dalam sesuatu perbicaraan mahkamah bukan sahaja keadilan terhadap mangsa, tetapi juga keadilan terhadap tertuduh.

Mangsa atau kerajaan akan diwakili oleh seorang atau sepasukan Pendakwaraya yang berperanan untuk mengemukakan bukti dan saksi bagi mengasaskan kes terhadap tertuduh.

Pendakwaraya merupakan seorang yang berlatarbelakang undang-undang serta berpengalaman dalam membuktikan elemen dalam sesuatu kesalahan jenayah.

Adalah tidak adil bagi seseorang tertuduh yang tidak tahu undang-undang untuk membela diri melawan seseorang Pendakwaraya yang tahu selok-belok undang-undang.

Atas sebab itulah tertuduh akan mendapatkan khidmat peguam bagi mewakili mereka di mahkamah dan menjadi jurucakap bagi pihak mereka dalam perbicaraan.

Dalam prosiding di mahkamah, saya lebih gemar dan merasakan lebih tepat bagi menggunakan istilah mewakili tertuduh, bukannya membela tertuduh.

Peguambela bertindak untuk menyampaikan apa-apa bukti dan memanggil saksi bagi pihak tertuduh.

Pada masa sama, peguambela juga berperanan menyemak saksi pendakwaan dan bukti yang dikemukakan oleh Pendakwaraya bagi memastikan tiada apa-apa keraguan terhadap kes yang dikenakan terhadap seseorang tertuduh.

Apabila kedua pihak diwakili oleh seseorang yang mahir dan faham undang-undang, maka tidak akan wujud penindasan terhadap mereka. Tidak akan ada bukti dan fakta kes yang tercicir daripada dikemukakan kepada mahkamah untuk dinilai.

Peguambela bukanlah membela anak guam supaya terlepas hukuman, tetapi untuk memudahkan proses perbicaraan dengan mewakili tertuduh yang tidak tahu undang-undang. Dengan cara ini, keadilan dapat diberikan kepada semua pihak.

Satu prinsip berkenaan peranan peguam telah dijelaskan dalam satu kes terkemuka, Rondel vs Worsley (1969), yang mana mahkamah menyatakan bahawa, “Lawyers are ultimately officers of the Court and are not their client’s mouthpiece” yang bermaksud peguam adalah sebahagian daripada pegawai mahkamah, bukannya jurucakap anak guam semata-mata.

Kerana itulah ada juga peguam yang hebat, berpengalaman dan terkenal, namun tertuduh tetap kalah dalam perbicaraan.

Kehebatan peguam bukan menjadi ukuran dalam menentukan kalah menang sesuatu kes. Cuma secara lazimnya, peguam lebih berpengalaman tidak akan cuai atau terlepas pandang semasa mengemukakan fakta kes mewakili tertuduh.

Setelah segala bukti dan saksi dikemukakan oleh kedua pihak kepada mahkamah, adalah menjadi peranan Hakim atau Majistret untuk menilai serta menentukan sama ada elemen kesalahan jenayah berjaya dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Seandainya elemen jenayah ada yang terkurang dan gagal dibuktikan, maka tertuduh akan dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Namun, sekiranya elemen jenayah berjaya dibuktikan dan peguambela gagal menimbulkan keraguan yang munasabah, mahkamah akan diteruskan kepada prosiding seterusnya iaitu mempertimbangkan hukuman terhadap tertuduh.

Dalam prosiding ini pihak berkenaan boleh mengemukakan faktor pemberatan iaitu untuk hukuman lebih berat melalui pendakwa raya dan faktor mitigasi yang akan dikemukakan oleh peguambela untuk meringankan hukuman.

Sekali lagi Hakim atau Majistret akan mempertimbangkan kedua-dua faktor dalam menentukan hukuman paling adil kepada tertuduh bukan sahaja mengambil kira mangsa dan tertuduh, tetapi juga kepada kepentingan awam dan masyarakat.

Saya percaya, menjadi prinsip asas juga kepada Maqasid Syariah dalam perundangan jenayah Islam bahawa seseorang hakim adalah lebih baik tersilap memaafkan tertuduh yang bersalah daripada tersilap menghukum tertuduh yang tidak bersalah.

Saya juga percaya, dalam Islam seseorang itu dianggap tidak bersalah melainkan berjaya dibuktikan sebaliknya.

Dalam mana-mana keadaan sekalipun prinsip ini sewajarnya diangkat menjadi asas kepada sistem perundangan yang adil bukan sahaja kepada mangsa, tetapi juga kepada orang yang dituduh.

Dengan memahami sistem kehakiman dan perundangan jenayah, saya percaya tidak wajar wujudnya salah faham dan persepsi negatif oleh masyarakat terhadap peguam.

Ulasan bersifat emosi yang dibuat oleh bukan ahli dalam bidang perundangan sewajarnya ditolak dan tidak dijadikan asas kepada sesuatu pandangan lebih-lebih lagi pandangan seorang Mufti.

Saya nasihatkan mana-mana individu terutama yang mempunyai ramai pengikut, tidak mengulas isu yang bukan dalam bidang mereka kerana dikhuatiri menjadi pegangan kepada pembaca dan pengikut meskipun ianya dibuat dalam keadaan jahil, seterusnya menjadi fitnah yang memudaratkan masyarakat.

Saya menghormati dan menghargai peranan Datuk Mufti dalam menyampaikan dakwah di pelbagai saluran media yang moden. Saya berdoa kepada Allah agar Dr Mohd Asri dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang baik agar dapat meneruskan dakwah dan menyebarkan ilmu demi kebaikan seluruh umat Islam di negara ini. – MalaysiaGazette

Nik Saiful Adli Burhan
Penulis, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan adalah peguam yang juga Pengerusi Sekretariat Perundangan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Timbalan Presiden, Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan.

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih

Jom Tekan Like Page Kami Di Bawah Artikel ni.

PERHATIAN: Pihak kami tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak kami juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda.

Sementara itu, anda boleh baca juga kisah-kisah lain yang menarik dan menghiburkan di bawah ini yang dikongsikan seperti berikut:

Leave a Reply

Your email address will not be published.