Datuk zayn rayyan dedah sesuatu masa temubual

Petaling Jaya – Datuk kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin memohon keadilan terhadap kanak-kanak lelaki autisme itu yang ditemui meninggal dunia akibat dibunuh pada Disember lalu.

Zahari Mohd Reba turut menuntut keadilan untuk ibu bapa kanak-kanak malang itu yang disambung reman enam hari lagi berakhir Rabu depan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Pada masa kejadian (sepanjang siasatan kes itu), dia (bapa Zayn Rayyan) berada dengan saya. Saya mahukan keadilan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding reman itu di lobi Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Terdahulu, peguam bela pasangan itu, Fahmi Abd Moin, mengesahkan perintah reman baharu itu yang akan tamat Rabu depan dikeluarkan Majistret Ainaa Muhamad Kamal.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan akan memohon sambungan reman kedua-dua individu terbabit.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Ditanya dakwaan ibu bapa Zayn Rayyan dianiaya, Zahari enggan mengulas lanjut, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada peguam.

“Dari mula lagi saya percaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan dengan telus,” katanya.

Nenek Zayn yang enggan dikenali pula menegaskan pasangan suami isteri itu adalah ibu bapa yang sangat baik.

“Sekarang kita mahu fokus keadilan untuk Zayn Rayyan dan ibu bapanya,” katanya.

Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.

Kredit : Berita Harian