Sungai Siput: Jasad Nuraina Humaira Rosli, 10, yang juga kanak-kanak Orang Asli ditemukan di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu, di sini, semalam.
Jasad Nuraina Humaira yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu ditemukan jam 4.20 petang, selepas dilapor hilang ketika bermain di sekitar perkampungan terbabit, sehari sebelum itu.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, maklumat berkaitan kehilangan mangsa diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) selepas dikatakan tidak pulang sejak petang Jumaat.
“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan sejak pagi semalam (Sabtu) termasuk dengan menggunakan bantuan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan beberapa agensi dan penduduk setempat.
“SAR dijalankan dalam radius dua kilometer sebelum mangsa ditemukan di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu oleh orang awam yang menyertai operasi ini,” katanya dihubungi, hari ini.
Mayat dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk proses selanjutnya dan sementara menunggu keputusan hasil bedah siasat, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, sebelum didapati hilang, mangsa dikatakan menuju ke kedai seorang diri kira-kira jam 3 petang untuk membeli ayam sebelum pulang ke rumah.
“Dikatakan mangsa pulang tangan kosong kerana kehabisan ayam di kedai, sebelum bapa saudara kemudiannya menyuruh mangsa menunggu seketika sementara mengajaknya untuk ke kedai lain.
“Bapa saudara kanak-kanak itu memintanya menunggu sekejap kerana dia mahu menghabiskan kerja, dalam pada itu, mangsa bermain buaian di kawasan terbabit namun bila keluar dari rumah didapati kanak-kanak itu sudah tiada,” katanya.
Sumber : Hmetro
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.