Sungai Siput: “Saya diberitahu ada suspek ditangkap, eloklah. Tapi saya tak mahu tahu dan tak mahu tengok muka dia,” kata bapa kepada kanak-kanak perempuan Orang Asli, Nuraina Humaira Rosli yang disyaki menjadi mangsa rogol sebelum dibunuh.
Rosli Mahadi, 48, berkata, dia dan isterinya, Khatijah Angah, 31, masih terkejut dan bersedih kerana tidak menjangka kehilangan anak sulung berusia 10 tahun itu sejak Jumaat lalu berakhir dengan penemuan mayatnya di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini, kelmarin.
Menurutnya, mereka sekeluarga dalam tempoh menenangkan diri dan cuba menerima kenyataan yang amat pahit itu.
“Isteri saya sedaya upaya kawal perasaannya, anak bongsu pula tidak menangis, cuma dia sedar kakaknya tiada di rumah dan mencari-cari,” katanya sayu.
Dia memberi reaksi itu ketika ditemui pada sesi ziarah oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di kediamannya di Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di sini, hari ini.
Pegawai Kemajuan Orang Asli Daerah Kuala Kangsar, Muhamad Hazwan Sabri yang hadir turut menyerahkan sumbangan bakul makanan serta wang tunai kepada keluarga itu.
Menurut Rosli, proses mandi, kafan dan solat jenazah selesai dilakukan di Unit Forensik Hospital Sungai Siput pada 12 tengah malam tadi, sebelum jenazah anaknya dibawa ke Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Bersah dengan menaiki van.
“Perjalanan untuk sampai ke kampung mengambil masa hampir dua jam, alhamdulillah anak saya selamat dikebumikan 3 pagi tadi dengan bantuan penduduk kampung dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk),” katanya.
Rosli dalam pada itu enggan mengulas lanjut tentang kejadian menyayat hati menimpa anaknya itu dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.
Terdahulu, media melaporkan suspek berusia berusia 17 tahun yang juga saudara terdekat mangsa dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Siput, pagi tadi dan direman selama tujuh hari sehingga 25 Ogos depan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber : Harian metro
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.