ALOR GAJAH – Taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Kelemak Utama di sini yang terbabit insiden bayi maut dalam jagaan pengasuhnya disahkan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Melaka, Datuk Kalsom Nordin berkata, meskipun telah lebih tiga tahun beroperasi, namun pusat jagaan itu masih dalam proses mendapatkan surat sokongan pendaftaran.
“Hasil semakan mendapati taska tersebut belum berdaftar dengan JKM.
“Namun pihak pengurusan taska sedang mendapatkan sokongan pendaftaran dari Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi aspek keselamatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Kalsom berkata, bagaimanapun taska berkenaan telah mendapat sokongan daripada agensi yang lain seperti Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah.
Ujarnya, susulan kejadian itu, dua kakitangan JKM telah melakukan pemeriksaan di premis terbabit pada jam 3.30 petang pada Jumaat selain turut dihadiri pasukan forensik polis.
“Unit kanak-kanak (taska) dan Unit Penguatkuasaan JKM pada hari ini sekali lagi telah melakukan pemeriksaan dan menemuduga pengusaha taska.
“Setakat ini pemeriksaan yang dilakukan, kita tidak pernah menerima sebarang aduan kes di taska ini yang merekodkan kehadiran 10 orang kanak-kanak termasuk mangsa bayi yang meninggal dunia,” katanya lagi.
Bedah siasat terhadap bayi lelaki berusia lapan bulan yang meninggal dunia di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di sini pada Jumaat mendapati punca kematiannya disebabkan lemas.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan bedah siasat terhadap Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Alor Gajah pada malam Jumaat.
“Proses bedah siasat yang berjalan selama kira-kira tiga jam bermula jam 7.30 malam hingga 10.45 malam mendapati punca kematian akibat lemas.
“Pemeriksaan juga mendapati tiada kesan kecederaan lain di tubuh bayi lelaki berusia lapan bulan itu,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.
Tambahnya, JKM akan melakukan tindakan Penguatkuasaan LAK (tutup) selaras dengan peruntukan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) selain akan mengenakan tindakan pendakwaan selepas siasatan lanjut dijalankan.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Mohd Fikry Amri meninggal dunia di taska itu.
Sumber : Sinar harian
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.