KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) — Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta dengan laju sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, empat hari lepas
P. Kuhan Raj, 31, didakwa memandu kereta jenis BMW dengan laju sehingga menyebabkan kematian pembonceng motosikal Nur Naura Nathifa Mohd El-Khuwailid di Lebuhraya Bukit Jalil menghala ke Puchong pada 9.50 malam, 15 Nov lepas
Pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang
memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Salsabila
Mohammad mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Inderpal Singh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja sendiri dan menanggung keluarga
Majistret Haneefa Ariffin membenarkan Kuhan Raj diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung berkuat kuasa serta merta, serta menetapkan sebutan kes pada 21 Jan depan.
Semalam, media melaporkan polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat kejadian langgar lari hingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan maut, manakala ibu bapanya cedera di Lebuhraya Bukit Jalil.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan hari ini selepas menyerah diri susulan insiden tiga beranak dirempuh sebuah kenderaan di Lebuhraya Bukit Jalil, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesahkan kemalangan itu berlaku sekitar jam 9.50 malam.
“Siasatan mendapati, dalam kejadian itu penunggang motosikal dan pembonceng bersama anaknya telah terjatuh di atas jalan di Lebuhraya Bukit Jalil.
“Ketiga-tiga mangsa dihantar ke hospital oleh orang awam dan anak mangsa berumur tujuh tahun telah meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.
“Manakala penunggang dan pembonceng motosikal itu mengalami kecederaan ringan.
“Kemudian, pemandu kereta itu merupakan lelaki berumur 31 tahun telah hadir ke Balai JSPT KL hari ini dan ditahan polis untuk siasatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Honda Beat yang dinaiki ketiga-tiga mangsa manakala suspek menaiki sebuah kenderaan jenis BMW.
Bagaimanapun katanya, lelaki itu kemudian dilepaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan berhubung kes terbabit untuk membantu siasatan lanjut.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dalam masa terdekat bagi arahan pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu video memaparkan tiga beranak yang menunggang sebuah motosikal telah dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Puchong menghala ke Bukit Jalil, pada 15 November lalu.
Kejadian itu berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan awam yang berada di tempat kejadian.
Pada masa sama, ayah saudara kepada kanak-kanak perempuan yang maut itu menuntut hukuman setimpal terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut.
Muhammad Syawal Naim Ghazali berkata, walaupun keluarganya reda dengan ketentuan takdir, tetapi mereka tetap berharap keadilan dapat ditegakkan.
Sumber : MalaysiaGazette
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.